LUAR NEGARA
Rakyat Kyrgyzstan mengundi bagi demokrasi berparlimen
OSH: Rakyat Kyrgyzstan semalam keluar mengundi dalam satu pungutan suara mengenai perlembagaan baru bertujuan mewujudkan pemerintah demokrasi berparlimen yang pertama di negara itu.
Pemerintah sementara, yang diketuai Cik Roza Otunbayeva, berharap pengundian itu mengesahkan pengambilalihan kuasa menyusuli rusuhan kaum yang menjatuhkan Presiden
Kurmanbek Bakiye dan mengorbankan 275 orang bulan ini.
Pungutan suara semalam menggesa pengundi agar menyokong pindaan perlembagaan yang akan mengalihkan kuasa presiden kepada perdana menteri, sekali gus merintis pilihan raya parlimen pada Oktober ini dan pengiktirafan diplomatik bagi pemerintah sementara.
Pemerintah mengerah hampir 8,000 pegawai polis dan jumlah yang sama sukarelawan bagi memastikan pengundian berjalan lancar dan tanpa keganasan. Cik Otunbayeva tiba dengan konvoi yang dikawal ketat untuk membuang undi di Universiti Osh.
'Negara kita hari ini berada di ambang bahaya. Tetapi keputusan pungutan suara ini akan menunjukkan bahawa rakyat dan negara ini masih bersatu padu,' tegasnya.
'Kita mahu memulihkan diri daripada kegetiran akibat peristiwa yang malang itu (rusuhan),' tambahnya.
Lebih 26 peratus rakyat keluar mengundi beberapa jam awal pengundian semalam. Penyertaan itu disifatkan sebagai 'tidak diduga' oleh timbalan ketua pemerintah sementara, Encik Omurbek Tekebayev.
'Ia menolak dakwaan Kyrgyzstan sedang runtuh dan berlaku perang saudara,' tegasnya.
Amerika Syarikat dan Russia berkata mereka menyokong sebuah pemerintah yang kuat untuk mencegah rusuhan daripada merebak ke seluruh Asia Tengah.
Badan hak asasi, Human Rights Watch (HRW), berkata pungutan suara mungkin menjadikan keadaan semakin tegang dan memberi amaran 'keadaan di selatan (Kyrgyzstan) masih lagi tegang dan tidak menentu' dengan etnik Kyrgyz dan Uzbek masing-masing berpindah ke kawasan majoriti kaum mereka.
Pengundi diberi satu soalan: Adakah anda menyokong perlembagaan baru?
Di bawah perlembagaan baru, Cik Otunbayeva akan kekal sebagai presiden sementara sehingga akhir tahun depan sebelum meletak jawatan. -- AP, AFP, Reuters.