MusicPlaylist
Music Playlist at MixPod.com

Syamsul Faadhil: Karangan- Latihan menulis perenggan penutup

Monday, July 12, 2010

Karangan- Latihan menulis perenggan penutup

Arahan : Bina perenggan penutup bagi karangan jenis perbincangan di bawah ini.

Petikan 1: Peranan Ibu Bapa sangat penting dalam mendidik anak-anak mereka.


Ibu bapa ialah orang-orang yang paling penting dalam sistem pendidikan anak-anak. Ini berdasarkan pada hubungan rapat mereka dengan anak-anak. Tidak dapat dinafikan bahawa anak-anak menghabiskan sebahagian besar masanya di rumah bersama ibu bapa mereka. Hubungan yang rapat ini pastinya dapat menghasilkan sesuatu yang baik, terutama dalam pembentukkan sahsiah (perwatakan) anak-anak itu sendiri. Di sinilah terletaknya peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam menentukan sikap dan kelakuan anak-anak.

Ibu bapa juga adalah golongan yang amat dihormati oleh kanak-kanak. Lazimnya, kanak-kanak lebih menghormati ibu bapa jika dibandingkan dengan guru-guru mereka. Justeru itu, anak-anak lebih mudah mematuhi apa-apa juga arahan dan tegahan ibu bapa mereka sendiri. Dari aspek ini, jelas memperlihatkan betapa ibu bapa dapat memainkan peranan yang penting dalam membentuk keperibadian juga menyemai nilai-nilai yang sesuai untuk disematkan dalam jiwa anak-anak mereka.

Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak sememangnya sangat penting dalam dunia yang semakin mencabar kini. Pengaruh media massa, pengaruh budaya popular, pengaruh rakan-rakan sebaya juga amat kuat mempengaruhi tingkah laku anak-anak . Pengaruh-pengaruh tersebut merupakan daya tarikan yang amat berkesan yang setentunya menjerumuskan keperibadian anak-anak dengan gejala yang sememangnya tidak sihat. Oleh itu, benteng yang paling ampuh untuk membendung gejala sedemikian hanyalah dengan ketegasan dan keperihatinan ibu bapa di rumah.

Rumah adalah asas segala-galanya. Di dalam sebuah keluarga, para ahlinya berhimpun dan diselia oleh ibu bapa. Sikap ibu bapa adalah teladan dan juga sempadan bagi anak-anak mereka. Oleh yang demikian, ibu bapa mesti memperlihatkan tingkah laku yang baik agar menjadi ikutan anak-anak terutama pada usia mereka muda kerana pada hakikatnya, mereka mudah menurut apa-apa sahaja yang ditunjuk dan diajar. Justeru itulah, peribahasa " hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya." Jika ibu bapa bijak mengatur hidup anak-anak mereka , akan lahirlah anak-anak yang bijaksana lagi berpekerti mulia.

Ibu bapa turut berperanan sebagai pendidik semasa anak-anak mereka di rumah. Selain menyalurkan pengetahuan akademik, ibu bapa bertanggungjawab penuh dalam menerapkan didikan agama dan nilai-nilai hidup yang murni di jiwa anak-anak mereka. Dengan lai perkataan, ibu bapa mesti mengimbangi didikan jasmani dan rohani anak-anak mereka. Berbekalkan ajaran-ajaran yang baik, anak-anak akan dapat membuat keputusan sendiri dalam menentukan hala tuju hidup mereka apabila mereka dewasa kelak.

Sewaktu dilahirkan, anak-anak ibarat sehelai kain putih. Di atas kain putih itulah ibu bapa boleh mencorakkan apa-apa warna sekalipun. Oleh itu, jelaslah ibu bapa adalah golongan utama dalam menentukan keperibadian anak-anak mereka. Pada tangan mereka terhimpunnya tanggungjawab untuk membesarkan, mendidik dan mengasuh anak-anak mereka. Sempurna didikan yang diberikan maka anak-anak itu akan menjadi manusia yang sempurna apabila mereka dewasa kelak. Anak-anak itu akan menjadi manusia berguna kepada keluarga, agama, bangsa dan negara. Sebaliknya, jika ibu bapa cuai dan mengabaikan tanggungjawab mereka, anak-anaklah yang menjadi mangsa.

Anak-anak harus bersyukur dengan ibu bapa mereka kerana merekalah yang mendorong dan mendukungi mereka selama ini. Anak-anak tidak harus menjadi liar kerana ini akan mengecewakan ibu bapa mereka. Selain ibu bapa, guru-guru di sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan akademik anak-anak tersebut. Mereka dapat memantau keadaan dan sikap mereka yang mungkin berbeza di rumah dan sekolah, apabila berhadapan dengan ibu bapa mereka.


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home